Saturday, April 16, 2011

Mahligai Impian 6

Kotak inbox emelnya diperiksa. Ada lebih daripada 20 emel yang belum dibaca namun hanya satu emel yang menarik minatnya saat ini. Emel daripada riz_mann@rocketmail. Memang dia ternanti-nanti emel tersebut yang datangnya daripada abang sepupunya, Rizman yang kini berada di Ireland. Lelaki itu sedang melanjutkan pelajaran peringkat Master dalam bidang kedoktoran. Setelah hampir lima tahun berada di sana, Rizman memutuskan untuk terus menyambung pelajarannya ke peringkat Master.

Dengan perasaan teruja, Fatihah membaca emel tersebut. Agak panjang daripada biasa. Dan rasa gembira bertambah apabila mengetahui bahawa lelaki itu akan pulang pertengahan Disember tahun depan. Sesaat kemudian, Fatihah kembali mengeluh. Mana tidaknya, sekarang baru memasuki minggu kedua bulan Januari. Sedang asyik meneliti senarai emel, tiba-tiba interkom yang elok terletak di atas sebelah kanan meja kerjanya berbunyi. Kedengaran suara Iqram.

“Fatihah, masuk bilik saya sekarang. Bawa fail Syarikat Purnama,” suara garau lelaki itu tegas mengarahkannya.

“Baik, Encik Iqram,” jawab Fatihah ringkas. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi empuknya. Sememangnya dia cukup beruntung mendapat kerja di syarikat ini. Walau hanya menjawat jawatan sebagai pembantu tadbir, tetapi dia mempunyai bilik pejabat sendiri yang agak mewah. Kerusi empuk, meja kerja yang boleh memuatkan kira-kira lima orang duduk berbincang, set sofa, dan meja kopi. Mujur tiada peti sejuk sekali yang tersedia. Jika tidak, pasti Fatihah menjadikan pejabat sebagai rumah keduanya.

Fatihah senyum sendiri mengingatkan keadaan itu. Sambil itu dia mencapai fail Syarikat Purnama yang sememangnya tersusun elok di atas meja bersama beberapa buah lagi fail syarikat-syarikat yang berurusan dengan Mega Holding. Sebaik fail sederhana tebal itu dicapai, laju dia menapak ke arah bilik kaca yang terletak setentang dengan biliknya. Kelihatan lelaki itu sedang khusyuk dengan kerjanya. Sebaik sampai di hadapan bilik itu, pintu kaca itu diketuk beberapa kali. Kedengaran suara Iqram mengarahkannya masuk.

“Ini dia fail Syarikat Purnama yang encik minta tadi,” ujar Fatihah sambil melangkah menghampiri meja yang agak berselerak itu.

Iqram angkat wajah. Senyuman dihadiahkan kepada gadis di hadapannya itu. “Terima kasih. Errrr….boleh tak awak tolong buat air untuk saya?” Pintanya dengan teragak-agak.

Fatihah kaku seketika. Selama hampir dua bulan dia bekerja di syarikat ini, tidak pernah pula dia menjadi ‘tea lady’ kepada majikannya ini. Kerja membancuh air selama ini dilaksanakan oleh Kak Yati. Namun, kepalanya dianggukkan. Mungkin Kak Yati sibuk hari ini, bicaranya di dalam hati. Cepat sahaja dia mengorak langkah ingin menuju ke ‘dapur’ khas pejabat yang memang tersedia di sebelah bilik mesyuarat.

“Errr…Fatihah..” Panggil Iqram perlahan.
Fatihah kembali berpaling.

“Ya?”

“Saya nak bagitau awak tentang tugas baru awak ni.”

Fatihah tayang muka kurang faham. Mana tidaknya, sebelum mula menyandang jawatan sekarang ini, Kak Yati sudah pun menerangkan terlebih dahulu setiap maklumat yang berkaitan dengan Marketing Department ini. Rasa-rasanya sudah 100% diketahuinya atau mungkin terdapat sedikit maklumat yang sememangnya turut tidak diketahui oleh Kak Yati sendiri?

“Duduk dulu. Lepas ni baru awak pergi buat air,” ujar Iqram sambil menatap wajah bersih Fatihah, namun tidak lama. Tidak sanggup meletakkan pandangan terlalu lama di situ.

Perlahan Fatihah mendekati meja kerja Iqram dan duduk di hadapan lelaki itu.

“Memandangkan saya tidak mempunyai secretary, maka saya lantik awak sebagai secretary sekaligus pembantu saya.” Fatihah angguk perlahan sebaik dimaklumkan mengenai tugas barunya itu.

“Ada sebarang masalah?”

“Tak ada, Encik Iqram.” Iqram lepaskan keluhan lega.

“Okey, awak boleh keluar sekarang. And, jangan lupa air saya tadi.” Sekali lagi kata-katanya dijawab dengan anggukan sebelum gadis dihadapannya itu melangkah keluar.

SELURUH bilik yang teratur dan kemas itu diteliti dengan sepenuh hati. Almari pakaian dihampiri dan dibuka perlahan-lahan. Tidak ada menarik perhatiannya. Almari tersebut kembali ditutup.

Meja solek pula dihampiri. Namun, langkah kakinya terkaku sebaik terpandang sekeping gambar keluarga. Pandangannya melekat pada wajah wanita yang tersenyum ceria sambil memeluk dua orang anak kecil.

“Faridah…,” ucap Puan Nora tanpa sedar. Serta-merta perasaannya menjadi tidak keruan. Seluruh tubuhnya menggigil. Ingin dicapai gambar tersebut namun terhalang dek bunyi loceng yang kedengaran menandakan ada tetamu yang datang bertandang. Serentak dengan itu kedengaran suara seseorang memberi salam. Laju dia melangkah keluar dari bilik tersebut dan menuju ke tingkat bawah.

Sebaik daun pintu terkuak, matanya menangkap kelibat seorang gadis yang berusia pertengahan 20an sedang tersenyum manis kepadanya. Lama dia memerhati. Ingin mengenalpasti gerangan insan yang di hadapannya ini.

“Farah?” Soalnya tidak percaya. Senyuman serta anggukan gadis itu sudah memberi jawapan kepada persoalan yang bermain di minda sejak wajah itu singgah matanya. Hampir sahaja dia tidak mengenali gadis tersebut kerana sudah lebih setahun mereka tidak bersua muka. Malahan, ketika hari perkahwinan Farah dia tidak dapat menghadirkan diri.

“Mak Ngah apa khabar?” soal si gadis sopan sambil menghulur tangan untuk bersalam. Pantas sahaja huluran tangan itu bersambut.

“Sihat. Mari masuk. Boleh kita berbual panjang.” Farah angguk kepala seraya melangkah masuk, mengekori langkah Mak Ngah.

“Farah duduk dulu. Biar Mak Ngah buat air. Lepas tu boleh kita sembang panjang,” ujarnya sebelum melangkah laju ke dapur sambil tersenyum riang. Banyak cerita yang ingin dikongsi bersama. Beberapa minit kemudian, Puan Nora muncul sambil menatang dulang berisi seteko teh dan sepinggan jemput-jemput ikan bilis. Baru sahaja ingin melabuhkan punggung di sebelah Farah, kedengaran suara seseorang memberi salam sekali lagi. Kali ini jelas kedengaran suara seorang lelaki. Farah di sebelah di pandang hairan.

“Farah ajak kawan datang sekali ke?” Hanya gelengan sebagai jawapan. Dengan kerutan di dahi sebagai tanda turut tidak mengetahui tetamu yang datang, langkah kaki di tuju ke arah pintu. Hampir tangannya memulas tombol pintu, kedengaran suara di luar sana memintanya membuka pintu dengan segera. Laju tangannya memulas tombol pintu. Mungkin tindakan reflek.

Sebaik daun pintu terbuka, kelihatan wajah pucat suaminya yang dipapah oleh dua orang lelaki yang agak sebaya dengan Fauzan.

“Nora,” panggil Encik Azman lemah.

“Siapa datang, Mak Ngah?” Soal Farah yang entah bila datang menghampirinya.

“Pak Ngah kamu ni,” jawabnya ringkas sebelum berpaling ke arah nereka bertiga semula.

“Tolong papah suami saya masuk,” pinta Puan Nora cemas. Daun pintu dikuak lebar. Memberi ruang yang lebih luas untuk mereka bertiga masuk. Perlahan-lahan ketiga-tiganya melangkah masuk dan Encik Azman dibantu untuk duduk.

“Macam mana boleh jadi macam ni, bang?” soal Puan Nora cemas sambil mengambil tempat di sebelah suaminya dan merungkai tali leher yang masih tersimpul kemas pada leher kemeja yang tersarung pada lelaki itu.

“Cikgu Azman jatuh di sekolah tadi. Lagipun kawasan sekolah agak basah sebab hujan malam tadi,” terang lelaki yang memakai tag nama ‘SAIFUL’. Lelaki di sebelahnya hanya mengangguk mengiakan.

“Tak ada apa nak risaulah. Sikit je. Terima kasih Cikgu Saiful, Cikgu Zamri,” ucap Encik Azman lemah.

“Sama-sama. Kami minta diri dulu, cikgu, puan,” ucap mereka hampir serentak. Farah pula sekadar mengangguk perlahan sambil menghadiahkan senyuman sebagai tanda turut berterima kasih kepada mereka berdua.

Encik Azman memandang langkah mereka yang dihantar oleh Puan Nora hingga ke muka pintu. Sesaat kemudian pandangannya tertala ke arah Farah yang turut menghadiahkan pandangan simpati kepadanya.

“Dah lama sampai?” soal Encik Azman mesra. Biarpun kurang mengenali anak saudara isterinya ini namun mereka bukan tidak pernah bersua muka.

“Baru juga Pak Ngah. Ni pun saja datang, dah lama tak bersembang dengan Mak Ngah.” Jelas Farah sambil memandang Encik Azman sebelum beralih kepada Puan Nora yang kembali ke ruang tamu setelah menghantar Cikgu Saiful dan Cikgu Zamri ke muka pintu.

“Farah duduk dulu ya. Pak Ngah nak naik atas,” ucap Encik Azman lemah. Kata-katanya dijawab dengan anggukan. Sesaat kemudian Puan Nora menghampiri Encik Azman dan memapah suaminya itu untuk ke tingkat atas.

“Mak Ngah naik atas dulu sekejap, nanti Mak Ngah turun semula. Kita sambung lepas ni, ya?”

“Yalah, Mak Ngah. Bukan Farah tak biasa pun dengan rumah ni,” jawab Farah mesra.

No comments:

Post a Comment