“Nurul,” tanpa disedari nama itu terlepas dari mulutnya. Iqram menyepi seketika.
Perlahan dompet berwarna gelap di saku belakang slack hitamnya ditarik keluar. Sesaat kemudian sekeping gambar seorang gadis lengkap dalam pakaian seragam sekolah menengah sudah berada di tangannya. Lama direnung pada gambar nan sekeping itu. Keluhan berat dilepaskan. Sukar rasanya untuk membuang sepotong nama itu daripada terus bertapak di dasar hati.
Terimbau kembali saat dia baru sahaja memasuki bulan ketiga berada di Tingkatan Enam Atas dan sering ‘bertapa’ di perpustakaan untuk mengulangkaji bersama Rizman. Suatu hari, ketika dia tergesa-gesa untuk memasuki perpustakaan, tanpa disengajakan dia terlanggar seorang pelajar perempuan. Habis jatuh buku-buku yang berada di tangan pelajar tersebut. Pantas sahaja Iqram membantu.
Namun, gerakan tangannya terhenti saat menyedari pelajar tersebut bukannya berusaha untuk mendapatkan buku-buku miliknya. Tangan kecil milik insan dihadapannya itu meraba-raba lantai simen tidak beralas itu. Hairan dia dengan tindakan pelik itu. Sempat pula dia melirik tag nama yang terjahit kemas di sebelah kiri tudung sederhana yang dipakai pelajar itu. ‘NURUL’, bisik hatinya perlahan.
“Errrr……Nurul, awak cari apa sebenarnya? Buku-buku awak ada kat sini, bukan kat sana,” ujarnya pantas sebaik menyedari pelajar tersebut semakin bergerak ke arah meja yang terletak elok di sebelah pintu masuk utama.
“Hah?” hanya itu yang sempat singgah ke telinga Iqram sebelum dia mendengar pelajar bernama Nurul itu mengaduh kesakitan akibat terhantuk pada bahagian bawah meja tersebut. Kedudukan kepalanya yang betul-betul di bawah meja menyukarkannya untuk bangkit dan berpaling ke arah Iqram.
“Awak cari apa?” Ulang Iqram sekali lagi. Rizman yang tiba bersamanya sebentar tadi hanya memandang drama sebabak di hadapannya. Perlahan, cermin mata yang hampir dengan kakinya itu dicapai dan diserahkan kepada Iqram. Iqram pamer wajah penuh persoalan namun diambil juga dari tangan temannya itu. Rizman juih bibir ke arah insan di hadapan Iqram itu, meminta Iqram berikan kepada pemiliknya. Iqram angguk faham lantas pasangkan cermin mata tersebut.
Nurul pejam celikkan mata beberapa kali sebelum pandangannya kembali jelas. Memang sukar baginya untuk melakukan sebarang aktiviti tanpa cermim mata berbingkai hitam kesayangannya itu. Sebaik mendongak, dia terpana seketika apabila pandangannya bersatu dengan pandangan galak seorang lelaki lelaki yang tidak dikenali. Agak lama mereka begitu sebelum kedengaran seseorang berdehem kuat mematikan situasi tersebut.
“Nurul, ni buku-buku Nurul. Maaflah, kawan Abang Man ni tak sengaja tadi,” Rizman menyerahkan beberapa buah buku kepadanya dan sekelip mata buku-buku itu sudah beralih tangan.
“Errrr…. Terima kasih Abang man. Nurul pergi dulu,” ujarnya seraya melangkah tanpa menoleh kembali. Langhkahnya dihantar dengan senyuman manis Iqram serta pandangan penuh makna Rizman.
Sebaik Nurul hilang dari pandangan, Iqram alih perhatian kepada Rizman. Ada sesuatu yang mengganggu benaknya sejak mendengar temannya itu membahasakan diri sebagai ‘Abang Man’ sebentar tadi.
“Dah habis?” Soal Rizman disertai senyuman penuh makna sebelum sempat Iqram membuka mulut. Iqram geleng kepala mendengar soalan berbaur usikan temannya itu.
“Hmmmm....apa-apa sajalah kau ni. Eh, kenapa dia panggil kau abang? Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?”
Rizman lempar senyum seraya melangkah menuju ke arah meja bulat di situ dan meletakkan buku- buku rujukan yang di bawa bersama di atasnya. Perlahan dia melabuhkan punggung diikuti dengan Iqram.
“Hei, kau tak jawab lagi soalan aku tadi.”
“Itu adik sepupu akulah. Kami memang rapat cuma jarang jumpa.”
“Owh. Aku ingatkan kau ada affair dengan dia. Kau ni bukan boleh percaya sangat.” Tanpa sebarang nada, bicara itu dilepaskan. Temannya bernama Rizman nan seorang ini sememangnya dikenali di sekolah mereka ini kerana sikap playboynya dan Iqram pasti, kata-katanya tadi tidak akan memberi sebarang kesan pada diri Rizman.
“Kut ia pun aku ni nak ada affair, tak adalah terdesak sangat nak ambik dia jadi mangsa aku. Aku sayang dia tu…….sebagai adik aku.”
“Okey, dahlah tu. Aku terima kata-kata kau tu 100%. Jom discuss subjek Math ni,” Iqram menghentikan bicara mengenai ‘Nurul’ daripada terus menjadi topik utama. Namun, bermula dari hari itu, nama itu terus bertamu di hati Iqram sehingga ke hari ini.
KETUKAN yang bertalu-talu di pintu kaca bilik pejabat mengembalikan Iqram ke alam realiti. Wajahnya diraup. Di dalam hati dia beristighfar panjang. Jauh dia terhumban ke memori lapan tahun dulu. Gambar tadi diselitkan kembali ke dalam dompet sebelum berpaling ke arah pintu. Kelibat Fatihah di luar sana kelihatn jelas di matanya.
Fatihah meneruskan ketukan dengan wajah yang semakin masam, namun cuba disembunyikan. Berharap agar majikannya itu segera membenarkannya masuk sekaligus menghentikan ketukan.
~Naik kematu tangan aku ni ketuk, sampai nak pecah pintu ni, dia tak dengar jugak ke? Pekak ke apa bos aku ni?
Baru sahaja dia ingin meneruskan ketukan di pintu kaca tersebut serta kutukan di dalam hati, kedengaran suara milik Iqram mengarahkannya masuk.
~Hah, tau pun nak bagi aku masuk.
Dengan penuh sopan pintu kaca jernih itu ditolak. Sedikit berlakon menutup kepanasan hati. Semanis mungkin senyuman diukir.
“Ya, ada apa Nur… eh Fatihah?” Sukar baginya memanggil orang lain dengan nama itu.
~Pelik ke apa bos aku ni, dua-dua tu pun nama aku. Tak ada beza pun kalau panggil aku Nurul atau Fatihah.
“Ini fail yang Encik Iqram nak tadi untuk mesyuarat pukul 3 petang ni,” ujar Fatihah sambil menghulurkan fail sederhana tebal kepada lelaki itu. Iqram capai pantas seraya menyelak beberapa helai bagi memastika itu adalah fail yang betul. Seketika kemudian, dia terangguk-angguk.
“Okey. Terima kasih.” Fatihah angguk perlahan.
“Ada apa-apa lagi, Encik Iqram?”
“Tak. Awak boleh keluar sekarang.” Laju langkah Fatihah meninggalkan Iqram yang memandang setiap langkahnya dengan pelbagai persoalan.
No comments:
Post a Comment