Fatihah menatap lama album yang menyimpan seribu rahsia dalam hidupnya sejak zaman sekolah menengah dulu. Diselak beberapa kali. Terserlah wajah pelajar lelaki cemerlang dan popular ketika dia berada di Tingkatan 4. Pelajar tersebut merupakan ketua pelajar umum dan berada di Tingkatan Enam Atas ketika itu. Dalam diam dia menanam minat terhadap pelajar itu dan sehingga kini berita mengenai lelaki itu sampai ke pengetahuannya meskipun sekadar berita ringkas. Siapa lagi yang menjadi wartawan tak bertauliahnya kalau bukan sepupunya, Ramlan yang juga merupakan sahabat baik lelaki pujaan hati Fatihah itu.
Derap langkah yang kedengaran semakin menghampiri kamar tidurnya membuatkan Fatihah sedikit panik. Pantas sahaja tangannya meyembunyikan album itu di bawah bantal. Seketika kemudian tersembul wajah Puan Nora merangkap ibu tiri Fatihah di muka pintu.
"Kau buat apa kat sini, hahh?!!" Kasar suara wanita lewat 40an itu menyergahnya. Terasa jantung Fatihah jatuh menyembah bumi. Setiap kali berhadapan dengan wanita ini, pasti sahaja dia akan menikus. Malah, memandang wajah bengis itu pun dia tidak berani.
"Tak...tak ada apa-apa, makcik," jawab Fatihah gugup.
"Dah, keluar. Pinggan mangkuk tak basuh lagi. Baju kat dapur tu pun kau tak cuci lagi. Apa nak jadi dengan kau ni hah?!" Serentak dengan itu, tangan lembut Fatihah ditarik kasar meningggalkan ruang kamar. Arah yang dituju adalah dapur. Di hadapan singki, tubuh kecil Fatihah ditolak kasar.
"Cepat buat kerja. Kau ingat kau boleh duduk senang lenang, aku buat kerja? Malam sikit!"
Pantas sahaja Fatihah mencapai pinggan mangkuk yang berlambak dan memulakan kerjanya tanpa sebarang bantahan. Puan Nora tersenyum sinis sebelum berlalu ke ruang tamu untuk menonton tv.
TEPAT jam 1.00 petang terpacul wajah Encik Azman dan Farhan di muka pintu. Memang sudah menjadi kebiasaan mereka untuk makan tengahari di rumah. Kebetulan hari ini tidak banyak kerja Farhan di hospital. Kalau tidak, tengah malam nanti barulah wajahnya akan kelihatan.
"Macam mana sekolah hari ni, abah?" Soal Fatihah sambil tangannya lincah menyusun hidangan di atas meja makan.
"Biasalah budak-budak sekolah sekarang ni, semuanya nak jadi macam orang dewasa. Umur pun tak sampai lagi 13, perangai macam hantu."
Fatihah dan Farhan senyum mendengar bicara lelaki itu. Puan Nora yang sejak tadi menjadi pendengar setia sesekali mencebik. Tak berminat langsung untuk mendengar mahupun menyampuk perbualan tiga beranak itu.
"Hmmm...abah, sebenarnya adik ada sesuatu nak bagi tau kat abah," ujar Fatihah perlahan. Farhan di sisi dikerling. Selamba wajah lelaki itu tanpa sebarang reaksi.
Encik Azman menatap wajah Fatihah yang mewarisi kelembutan wajah arwah isteri pertamanya , Faridah dengan tanda tanya.
"Tapi lepas ni. Kita makan dulu," pantas sahaja Farhan memintas Fatihah yang ingin bersuara.
"Okey," jawab Encik Azman ringkas lantas meneruskan suapannya.
Sebaik mengemas meja makan serta mencuci pinggan mangkuk yang digunakan tadi, Fatihah bergegas naik ke tingkat atas dan menunaika solat zuhur. Usai melipat telekung dan sejadah, pantas sahaja langkahnya diatur ke tingkat bawah sambil membawa bersama surat tawaran yang diterimanya pagi tadi. Tanpa pengetahuan Puan Nora, Fatihah mengambil surat-surat yang terkurung di dalam peti surat sejak semalam. Sememangnya sebelum ini Puan Nora yang akan 'bertanggungjawab' terhadap surat-surat yang dikirimkan kepada setiap penghuni rumah ini tetapi Fatihah sudah mengambil alih tugas tersebut semenjak dia menghadiri temuduga kira-kira dua minggu yang lalu.
Encik Azman sudah sedia menunggu di ruang tamu. Di sisinya Farhan yang sejak tadi memerhati perlakuan adik kesayangannya itu. Gembira semacam!
~Pasti mengenai keputusan interview, tapi.... abah bagi ke adik aku ni kerja?
Fatihah menarik nafas dalam. Perlahan surat di tangan dihulur dan sesaat kemudian surat tersebut sudah bertukar tangan. Encik Azman memandang wajah anak gadisnya bersilih ganti dengan surat di tangannya.
"Betul adik nak kerja?" Soal Encik Azman lembut. Fatihah sedikit tersentak.
~Macam tak nak aje abah ni bagi aku kerja.
Seketika kemudian Fatihah angguk perlahan tanpa memandang wajah tua itu. Farhan juga turut berdebar. Seolah menanti untuk dikenakan hukuman gantung. Puan Nora senyum sinis. Pasti bahawa suaminya itu tidak akan memberi keizinan. Sepi. Hanya bunyi putaran kipas yang kedengaran. Lama Encik Azman pandang wajah penuh harap anak-anaknya.
"Hmmmm.....okey. Abah izinkan," ujarnya setelah yakin bahawa tahap gelabah anak-anaknya sudah berada di tahap yang paling kritikal.
"Betul, abah???" serentak Fatihah dan Farhan bersuara.
"Ya. Lagipun abah rasa tak ada masalah pun kalau adik kerja."
Puan Nora pamer wajah tak puas hati. Meluat dengan kelakuan anak beranak di hadapannya ini.
"Habis tu, takkan semua kerja kat rumah ni saya yang kena buat? Kan selama ni, dia ni yang buat kerja." Bicara Puan Nora yang berbaur bentakan itu membuatkan dua beradik itu terkesima. Hilang senyuman mereka.
"Bukan banyak sangat pun kerja kat rumah ni. Awak boleh buat seorang," jawab Encik Azman selamba. Farhan dan Fatihah senyum kemenangan. Puan Nora pandang Encik Azman dengan wajah kelat!
No comments:
Post a Comment